PRU-15: Tiada kerjasama PN, GTA – Muhyiddin

PERIKATAN Nasional (PN) memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk bergerak ke depan dengan parti komponen sedia ada.

“Tidak ada perbincangan untuk bekerjasama dengan GTA. Bukan PN tidak mahu ada kerjasama tetapi kita memutuskan untuk bergerak ke hadapan dengan apa yang sudah dirancang sejak awal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, lapor Berita Harian, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Muhyiddin juga menafikan dakwaan ada perbincangan antara PN dan GTA tetapi belum dimuktamadkan kerana ada isu belum selesai.

Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir hari ini berkata pihaknya masih meneruskan perbincangan kerjasama dengan GTA dan menyelesaikan beberapa isu dan memberikan masa kepada PN selama dua hari untuk putuskan.

Muhyiddin berkata, beliau tidak tahu mengenai perbincangan itu kerana tidak dibawa ke Majlis Presiden PN.

“Tidak ada perbincangan dan tidak ada mesyuarat rasmi. Mungkin ada bincang di peringkat bawahan tetapi tidak sampai kepada majlis (presiden), saya tidak tahu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *