[VIDEO]PRU-15: Radzi calon Perikatan Nasional di Putrajaya

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa program Jelajah Prihatin PN di Putrajaya malam tadi sekali gus menjawab spekulasi bertiup sebelum ini.

“Malam ini sahih, bukan uar-uar, bukan khabar-khabar, tetapi diumumkan oleh pengerusi PN bahawa ini calon kita di Putrajaya,” katanya.

Kerusi Parlimen Putrajaya kini disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari Barisan Nasional (BN).

Pada PRU-14, Tengku Adnan menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, walaupun Tengku Adnan sudah melakukan pelbagai usaha demi Putrajaya, sekarang masanya untuk melakukan perubahan.

“Dan perubahan itu mestilah diterajui PN di bawah pimpinan Radzi,” tegas beliau.

Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu dipilih sebagai menteri pendidikan selepas dilantik sebagai senator.

Pada PRU-14, Radzi bertanding di kerusi Parlimen Ketereh atas tiket Bersatu, tetapi beliau tewas dalam pertarungan tiga penjuru yang dimenangi calon BN, Tan Sri Annuar Musa dengan majoriti 4,625 undi.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan slogan PN untuk PRU15 iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil dengan laungan PN Best! .

“Ini tagline yang kita akan laungkan pada PRU-15 dan PN Best adalah harapan kita,” katanya.

PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 Nov dengan penamaan calon pada 5 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *