Pengawal keselamatan warga asing maut tersepit di pagar automatik

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pengawal keselamatan maut selepas tersepit di pagar automatik di tempat kerjanya di sebuah kedai perkakasan di Jalan Sri Purnama 5, Johor Bahru, hari ini.

Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 7.29 petang sebelum empat anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Mana II Khairul Azhar Abdul Aziz berkata, setibanya di lokasi terdapat seorang mangsa yang tersepit di pagar automatik.

“Mangsa, Sami Ur Rahman, berusia 29 tahun adalah warganegara Pakistan dan merupakan pekerja keselamatan di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bertindak membuka pagar automatik tersebut secara manual dengan bantuan pegawai penyelenggara kedai tersebut.

Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian sebelul diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Khairul Azhar menambah, operasi tersebut tamat pada pukul 8 malam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *