JURUTERBANG sebuah helikopter yang terhempas ketika pendaratan cemas di Brinchang, Cameron Highlands semalam bersyukur kerana masih selamat walaupun kejadian itu hampir meragut nyawanya dan lima penumpang lain.
Menurut Kapten Fedzrol Norazam, 43, kejadian itu bagaimanapun, tidak sedikit pun menggoyahkan perasaannya untuk kembali ‘ke udara’ dengan mengemudi helikopter.
Namun begitu, di sebalik perasaan itu, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia tetap mahu memohon maaf atas nahas udara yang berlaku itu.
“Saya ingin memohon maaf atas apa yang telah terjadi. Walaupun ini ketentuan Tuhan, mungkin ia juga terjadi akibat kesilapan saya.
“Kita tak tahu bagaimana ia boleh terjadi. Namun apa yang penting, semua berada dalam keadaan selamat,” katanya, lapor Astro Awani di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, hari ini.
Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menziarahi beliau dan lima mangsa lain yang terlibat dalam nahas helikopter di Brinchang pada tengah hari semalam.
Dalam pada itu, Fedzrol turut menceritakan detik-detik cemas sebelum helikopter yang dikemudikan itu terpaksa membuat pendaratan cemas sebelum terhempas.
Katanya ketika dalam perjalanan pulang dari Kampung Gawin, Gua Musang menuju ke Ipoh, mereka berdepan dengan cuaca buruk yang memaksanya untuk menggunakan laluan udara alternatif.
Menurutnya lagi, nasib tidak menyebelahinya apabila seolah-olah berlaku ganguan udara di laluan alternatif tersebut sehingga Fedzrol gagal mengawal helikopter yang dipandu.
“Apabila tiba di ruangan laluan udara alternatif itu,saya terpaksa membuat pendaratan kecemasan dengan menggunakan teknik ‘pitch-up altitude’ supaya hentaman ke darat bermula pada ekor helikopter.
“Itu yang saya lakukan, namun ketika itu keadaan atau faktor angin tidak baik dan mungkin disebabkan itu juga hentaman helikopter telah menyebabkan saya tidak sedarkan diri sementara,” katanya lagi.
Fedzrol berkata beliau kembali tersedar selepas namanya dipanggil salah seorang petugas perubatan selepas helikopter itu terhempas dan menjadi yang terakhir keluar daripada bangkai kenderaan udara berkenaan.
Dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari Rabu lalu, helikopter berkenaan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di kawasan hutan berhampiran Brinchang.
Helikopter yang membawa enam penumpang termasuk juruterbang itu dalam perjalanan dari Kampung Gawin ke Ipoh, selepas selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli berkenaan.
Akibat insiden itu, semua mangsa bagaimanapun terselamat dan berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari lokasi nahas secara berperingkat sehingga pukul 9.07 malam.
Leave a Reply