Dua sahabat terperangkap kepala air ‘ditemani’ beruang

Oleh BADLISHAH MAT

DUA lelaki yang terperangkap akibat kepala air berdepan detik cemas apabila mereka turut ‘ditemani’ sepasang beruang di Bukit Wang Perah, Jitra di Kubang Pasu, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika Badrul Hisham Badri, 50, dan Abdul Halim Ibrahim, 35, terkandas selama 15 jam di lokasi terbabit.

Badrul Hisham berkata, mereka pada mulanya masuk ke hutan tersebut kira-kira pukul 3 petang untuk menjala ikan sebelum cuaca tiba-tiba berubah.

“Kira-kira pukul 5 petang kemudian, aliran air bertukar menjadi deras dan kami mengambil keputusan mendaki bukit bagi mendapatkan isyarat telefon untuk meminta bantuan.

“Apabila sampai ke puncak bukit, kami kemudiannya mensalai anak ikan yang diperolehi untuk mengalas perut. Sesudah mengalas perut, sepasang beruang setinggi saya ke hadir ke kawasan tersebut.

“Ketika itu kami berlindung di bawah jala yang diletakkan daun-daun di atasnya tanpa bergerak. Pasangan beruang itu berada di kawasan berhampiran sejak pukul 9 malam hingga pukul 1 pagi menyebabkan kami tidak tidur dan berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, mereka bersyukur kerana pasangan beruang terbabit tidak mengapa-apakan mereka.

Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa ada kecederaan

“Selepas itu apabila melihat keadaan agak tenang, kami membuat keputusan untuk bergerak turun. Dalam perjalanan turun tersebut, saya sekali ternampak beruang terbabit di kawasan sungai.

“Kami kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum ditemui pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.50 pagi tadi.  

“Setibanya di lokasi, kami berpecah kepada dua pasukan untuk melaksanakan kerja-kerja mencari dan menyelamat. Namun keadaan hujan lebat dan berisiko menyebabkan kerja-kerja tersebut ditangguh hingga hari cerah.

“Alhamdulillah kira-kira pukul 8.20 pagi, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa ada kecederaan,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *