Calon PN Putrajaya: Radzi sifatkan pemilihannya satu penghormatan, amanah

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan pemilihan beliau mewakili gabungan politik itu merupakan satu penghormatan dan amanah yang akan beliau galas sebaiknya.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan itu, beliau berterima kasih kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pucuk pimpinan PN serta kepimpinan Bersatu atas kepercayaan yang diberikan.

“Memetik kata-kata Tan Sri Muhyiddin semalam bahawa “Keberadaan kita (PN) adalah untuk mewujudkan sebuah Kerajaan dan kepimpinan yang baik, prihatin, amanah dan penuh integriti yang dapat melaksanakan pembangunan menyeluruh sehingga Malaysia kembali menjadi negara hebat dan disegani”, saya bertekad untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan perubahan berlaku dalam arena politik negara, bermula dari Putrajaya,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Muhyiddin yang menamakannya sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

Mengulas lanjut, Dr Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, setelah berkhidmat sebagai menteri Kabinet dan menetap di Putrajaya, beliau sedikit sebanyak telah menyelami permasalahan penduduk yang turut berkongsi masalah itu kepadanya melalui program rasmi atau pertemuan biasa.

“InsyaAllah, dengan amanah yang diberikan oleh Perikatan Nasional ini, saya akan perjuangkan suara warga Putrajaya dan ikhtiarkan sebaiknya demi kesejahteraan penduduk.

“Saya percaya dengan kerjasama dan dokongan seluruh jentera Perikatan Nasional, tidak terkecuali setiap warga Putrajaya, kita semua mampu mencipta Era Baharu Putrajaya,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *