PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru ibu bapa supaya mengingatkan anak-anak mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.
Menurutnya biar dalam keadaan apa sekali pun, tanggungjawab untuk memilih sebuah kerajaan bersih menjadi amanah kepada setiap individu yang layak memilih dalam pilihan raya yang akan datang.
Presiden Bersatu itu berkata keberadaan PN dalam arena politik negara bertujuan mewujudkan sebuah kerajaan dan kepimpinan yang baik, prihatin, amanah dan penuh integriti yang dapat merencanakan pembangunan menyeluruh sehingga Malaysia kembali menjadi negara hebat.
“Alhamdulillah malam tadi saya bersama-sama kepimpinan Perikatan Nasional (PN) meneruskan Program Jelajah Prihatin Perikatan Nasional, kali ini di Putrajaya.
“Saya gembira melihat sambutan hangat daripada warga Putrajaya yang datang untuk mendengar penerangan dan penjelasan tentang keberadaan PN dalam politik negara.
“Saya percaya apabila hal ehwal negara diurus dan ditadbir dengan betul, beramanah dan bertanggungjawab, rakyat sudah tentu akan dapat menikmati hidup dengan lebih selesa dan selamat, bukan hanya untuk generasi kita, malah untuk anak cucu kita sekali.
“Bagi mencapai cita-cita ini setiap daripada kita perlu menggunakan hak mengundi pada 19 November depan untuk memilih sebuah parti iaitu Perikatan Nasional (PN) yang faham dan berupaya membela nasib hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu malam tadi, Muhyiddin sekali lagi menegaskan bahawa langkah seluruh kepimpinan Bersatu bersetuju untuk keluar daripada ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) adalah kerana tidak mahu mengkhianati bangsa, agama dan negara.
Beliau mengulangi penegasan itu PH terus menuduh Bersatu sebagai pengkhianat menyebabkan kerajaan gabungan itu tumbang pada 2020 setelah 22 bulan memegang tampuk pemerintahan selepas PRU-14.
Menceritakan keputusan itu dibuat, Muhyiddin yang menjadi Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran PH berkata, dalam Kabinet pakatan itu sangat ‘luar biasa’ dan amat berlainan dengan pengalaman berada dalam barisan Kabinet sebelum ini.
Katanya, tekanan daripada menteri-menteri PH amat luar biasa dan lebih memburukkan keadaan banyak permintaan mereka boleh membawa mudarat kepada orang Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia.
“Sebab itu saya bagitahu Tun (Dr Mahathir Mohamad) kita tak boleh berada lama bersama PH… lagi lama Bersatu dalam PH, lagi merosot sokongan orang Melayu kepada kita,” katanya.
Leave a Reply