Sindiket edar dadah dari negara jiran tumpas, 564 ketulan ganja dirampas

POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang diseludup dari negara jiran selepas merampas sebanyak 564 ketulan mampat ganja seberat 573 kilogram (kg) bernilai RM1.43 juta.

Rampasan itu dibuat dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Bungah, Sabtu lalu yang mana dua suspek lelaki warga tempatan masing-masing berusia 54 dan 58 tahun yang bekerja sebagai nelayan turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama dilakukan sebuah pondok di tepi pantai Tanjung Bungah kira-kira pukul 1.40 pagi.

Dalam serbuan itu tambahnya, polis merampas lapan karung guni mengandungi 243 ketulan mampat ganja seberat 246 kg bernilai RM612,000 selain menahan seorang suspek berusia 54 tahun.

Ujar beliau, penahanan suspek pertama itu membawa kepada serbuan kedua di atas sebuah bot kira-kira 600 meter dari tepi pantai Tanjung Bungah yang mana suspek berusia 58 tahun berjaya ditahan.

“Ketika serbuan itu, suspek cuba melarikan diri namun botnya berjaya dipintas oleh pasukan polis marin.

”Ketika ditahan, suspek juga sedang memindahkan ganja dari laut ke kawasan pondok di tepi pantai itu.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bot itu kemudiannya menjumpai sebanyak 11 karung guni berisi 321 mampatan daun kering dipercayai ganja seberat 327 kg bernilai RM818,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

Menurut Soffian, sindiket ini dipercayai aktif mengedar dadah sejak Julai lalu dipercayai untuk pasaran tempatan.

Jelasnya, kedua-dua suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, namun hasil saringan air kencing mereka negatif dadah.

”Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *