guane

PENGUMUMAN bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli politik di Terengganu.

Ada pihak yang membuat spekulasi dan bertanya apakah wujud masalah dalaman dalam UMNO Besut atau ada sebab lain?

Ini kerana, ketiadaan Idris bakal memberi cabaran lebih getir kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRU kali ini.

Hal ini kerana, pengaruh Idris dikatakan terlalu sukar digugat oleh pihak lawan di kerusi yang merupakan antara kubu kuat UMNO sejak sekian lama.

Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu dan cukup sinonim dengan pengundi Besut pada Isnin lalu menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil bagi memberi laluan kepada calon muda seiring dengan hasrat UMNO untuk meremajakan parti.

Malah katanya, dengan barisan kepimpinan lebih muda, beliau yakin masa hadapan parti akan menjadi semakin bertenaga dan diminati ramai pengundi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mula bertanding dalam PRU pada tahun 1995 sebagai Ahli Parlimen Besut ketika berusia 40 tahun.

Bagaimanapun, pada PRU 10, tahun 1999, beliau tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Raja, namun kembali diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada 2004 dan 2008.

Manakala pada PRU14, 2018 lalu Idris menang kerusi Parlimen Besut dengan majoriti 4,599 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau yang mendapat 34,335 undi menewaskan calon Pas, Ustaz Riduan Mohamad Nor yang memperoleh 29,736 undi dan Ir Wan Nazari Wan Jusoh (PKR) yang mendapat 6,864 undi.

Justeru, ramai penganalisis dan pemerhati politik berteka teki apakah dengan keputusan Idris ini kerusi Parlimen Besut masih mampu dikuasai UMNO atau bertukar tangan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) diwakili Pas.

Difahamkan, Pas-PN bakal mempertaruhkan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Datuk Husain Awang yang disebut-sebut sebagai calon untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Manakala antara nama calon UMNO-BN yang disebut-sebut bertanding menggantikan Idris pula ialah Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Muhammad Pehemi Yusof.

Selain itu, Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang juga dijangka meletakkan calon masing-masing, menjadikan kerusi ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Perkembangan ini sekaligus menjadikan persaingan dan perebutan bagi kerusi Parlimen Besut semakin menarik dan terbuka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here