TIGA cedera apabila helikopter dinaiki lima anggota pasukan perubatan serta juruterbang terhempas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands, bersempadan Perak dan Pahang, 1.05 tengah hari tadi.
Semua mangsa dilaporkan selamat namun mengalami kecederaan susulan pendaratan cemas yang terpaksa dilakukan juruterbang akibat cuaca buruk.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa menghubungi pasukan keselamatan memaklumkan kejadian dan pasukan penyelamat diatur gerak ke lokasi untuk menyelamatkan mereka.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kejadian berpunca apabila helikopter dinaiki mereka mengalami masalah akibat cuaca buruk di lokasi sehingga memaksa juruterbangnya mengambil keputusan untuk melakukan pendaratan.
“Bagaimanapun, difahamkan ketika cuba melakukan pendaratan, helikopter tersebut tersangkut pada pokok di hutan tersebut.
“Setakat ini maklumat awal yang kami perolehi adalah semua mangsa selamat, hanya mengalami kecederaan namun tidak serius,”katanya, lapor Harian Metro, hari ini.
Mohd Yusri berkata, kejadian berlaku ketika helikopter yang membawa pasukan perubatan terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak daripada Lojing, Kelantan.
“Lokasi sebenar keberadaan mereka masih belum dapat dipastikan setakat ini namun pasukan penyelamat sudah memulakan operasi mencari dan menyelamatkan semua mangsa,”katanya.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Chester Voo berkata, helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd.
“Unit mencari dan menyelamat pertama melalui jalan darat sudah digerakkan ke lokasi kejadian 19 minit kemudian dan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara,” katanya.
Leave a Reply