Digugurkan DAP, Wong Tack jadi calon Bebas di Bentong

BEBERAPA jam selepas Young Syefura diumumkan sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen Bentong, penyandangnya yang juga daripada parti, Wong Tack mengumumkan beliau akan bertanding sebagai calon Bebas di situ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bulan depan.

Pada sidang akhbar hari ini, Wong berkata, DAP memutuskan untuk tidak meletakkan beliau di kerusi Parlimen berkenaan kerana ‘’…tidak akan sesuai dengan strategi besar mereka pada pilihan raya umum.’’

“Sejak empat tahun lalu, saya bersungguh-sungguh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat Bentong. Bentong adalah kampung halaman saya, saya tetap komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Dengan itu, saya dengan ini mengumumkan bahawa saya, Wong Tack, akan bertanding di bawah ‘tiket rakyat’,’’ katanya.

Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan bahawa Young Syefura akan bertanding menentang bekas Presiden MCA Liow Tiong Lai, yang menewaskan Wong pada 2013 tetapi kalah kepadanya pada 2018.

Bercakap pada sidang media selepas mengumumkan pencalonan itu, Loke berkata dia percaya Young Syefura adalah calon boleh menang di Bentong.

“Keputusan dibuat bukan hanya berdasarkan pemerhatian, tetapi ada juga tinjauan, dan kami percaya dia adalah calon boleh menang di sana,” katanya.

Beliau berkata, Wong Tack ditawarkan bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands, bagaimanapun ia ditolak..


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *