Cadangan dikemukakan MPN disambut baik rakyat – Tinjauan

SEMINAR Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial yang dianjurkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini berjaya membentangkan 12 kertas penyelidikan yang membincangkan pelbagai fokus penting negara.

Seminar tersebut antara lain menggesa agar kerajaan segera memulihkan negara melalui 10 penekanan aspek keterangkuman sosial dan bermaruah (dignity).

Memetik laporan Astro AWANI yang turun ke lapangan untuk mengumpul reaksi kumpulan sasar yang rata-rata memang terjejas dengan pandemik COVID-19 dan bagaimana cadangan MPN memberi kesan langsung kepada mereka.

Menurut seorang pekerja swasta, Johannas Ahmad, krisis COVID-19 memberi impak yang besar kepada dirinya setelah dia terpaksa akur bergelar ‘penganggur’ selepas syarikat tempat dia bekerja membuat keputusan menutup operasi.

“Saya bekerja dalam bidang perhotelan dan sektor pelancongan sememangnya terjejas teruk sehinggakan syarikat saya bekerja terpaksa memberhentikan operasi.

“Saya bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT)… memang dalam tempoh setahun kami struggle untuk mencari kerja, malah kita tahu banyak syarikat yang membekukan pengambilan pekerja ketika itu,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, semalam.

Turut berdepan nasib sama, pekerja syarikat milik kerajaan (GOC), Shafiq Ikwan yang berkata, dia yang bekerja dalam industri makanan dan minuman terpaksa menukar bidang baharu iaitu industri kewangan untuk terus ‘survive’.

“Saya sendiri menerima kesan yang agak mendalam dimana terpaksa berdepan dengan pemotongan gaji selama tiga bulan. Pada awalnya pemotongan sebanyak 50 peratus tetapi pada bulan terakhir saya tidak dibayar gaji meskipun bekerja seperti biasa.

“Akhirnya saya membuat keputusan untuk menukarkan kerjaya yang mana sekarang ini berkhidmat dalam industri kewangan,” ujarnya.
Dalam pada itu, rata-rata ketika ditemui bersetuju dan menyokong terhadap cadangan diberikan MPN dalam membangunkan sebuah sistem bersepadu bagi menjamin jaringan sosial rakyat.

Pekerja e-hailing, Yasoda turut senada terhadap cadangan diberikan MPN bagi membangunkan sistem bersepadu tersebut.

“Saya sangat setuju dengan sistem dicadangkan oleh MPN baru baru ini, ia banyak memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan terkesan.

“Solusi seperti ini dapat mempercepatkan mereka untuk mendapatkan bantuan dengan kadar segera tanpa melalui proses yang panjang untuk mendaftar,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi mendepani cabaran global mendatang, ibu bapa berpendapat terdapat juga perkara yang perlu ditambah baik dalam sektor pendidikan negara.

Seorang kakitangan awam, Mohd Hakim Hafiz memberitahu, antara perkara yang perlu diberi penekanan adalah termasuk peningkatan terhadap penguasaan bidang komputer sains.

“Kalau macam anak-anak saya sendiri pun saya dah setkan dimana mereka perlu mahir, mendalami dan menguasai bidang komputer sains serta jaringan komputer.

“Selain itu, kemahiran insaniah juga wajar diberi penekanan dalam mempersiapkan mereka mendepani cabaran global mendatang,” katanya.

Johannas turut menambah, dia mengharapkan untuk kerajaan menyediakan pendidikan percuma pada masa hadapan khususnya bagi mengurangkan kos kewangan terpaksa ditanggung ibu bapa dalam tempoh mencabar ini.

“Dalam tempoh pandemik ini dan ekonomi juga masih dalam fasa pemulihan… jika dapat kurangkan kos atau bagi bantuan untuk peringkat pengajian tinggi adalah lebih baik dan sangat dialukan kerana kita tahu untuk mendapat biasiswa juga tidak mudah.

“Justeru itu, andai kata dapat bantuan biasiswa ia sekali gus mengurangkan kos ibu bapa dalam menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak masuk universiti… saya sangat mengharapkan perkara itu,” ujarnya.

Selain tumpuan kemiskinan situasi, pendidikan, aspek perancangan bandar lestari, pemerkasaan golongan B40 dan PMKS, seminar tersebut turut membawa isu keterangkuman wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak, potensi ekonomi hijau, sekuriti makanan serta pemerkasaan sektor eko-pelancongan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *