MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka bertembung dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bulan depan.
Portal FMT melaporkan, seorang pemimpin PKR Gombak yakin Amirudin yang juga ADUN Batu Caves akan ke Parlimen.
“Keupayaan dan kemampuan (Amirudin) telah terbukti melalui pencapaian serta rekod cemerlang beliau sebagai ADUN sejak 2008, Exco Belia dan Sukan, dan mutakhir ini sebagai menteri besar,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, PKR Gombak sebulat suara mencalonkan Amirudin untuk kerusi Parlimen itu.
Terdahulu, Azmin menyatakan beliau akan mempertahankan kerusi itu, selepas tiga penggal mewakili rakyat Gombak.
Pada PRU 2018, bekas timbalan presiden PKR itu menang dengan majoriti 48,721. Azmin dipecat keahlian pada Februari 2020 atas dakwaan “pengkhianatan terbuka”.
Gandingan Azmin dan beberapa bekas Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, PAS, dan Barisan Nasional membawa kepada pembentukan kerajaan baharu bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin. Azmin menyertai Bersatu pada Ogos 2020.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, yang juga Bendahari PKR Gombak, Zainol Abidin Mohamed, berkongsi dalm media sosial poster menyatakan Amirudin calon Pakatan Harapan di kerusi berkenaan.
Katanya, PH membuat keputusan tepat meletakkan Aminudin sebagai calon di situ.
“Rakyat Gombak sejak 2008 memilih Pakatan Rakyat dan PH dengan kemenangan majoriti yang besar. Itu bukti kukuh bahawa Gombak ini kubu kuat perjuangan reformasi dan PH.
“Amirudin sosok yang amat sesuai bagi mengembalikan mandat rakyat yang telah dicabuli melalui Langkah Sheraton yang menyaksikan kerusi Parlimen Gombak ini ‘dicuri’ secara khianat tanpa melalui proses demokrasi yang bermaruah,” katanya.
Leave a Reply