SEBANYAK 30 kru penggambaran yang dilaporkan terperangkap di belakang Gua Tempurung di Gopeng berjaya diselamatkan dan dibawa keluar petang ini.
Bagaimanapun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 4.10 petang yang memaklumkan ada orang awam terperangkap di belakang Gua Tempurung berikutan peningkatan paras air.
Menurutnya, keseluruhan kru berkenaan berjumlah 80 orang dan 30 yang terperangkap adalah warga tempatan serta Singapura.
“Pihak Bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu dan operasi menyelamat dijalankan bersama,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Mengulas lanjut Mohd Yusri berkata, beliau bersama sepasukan anggota Task Force dari Balai Polis Gopeng dan Kota Bharu melawat tempat kejadian di kawasan belakang Gua Tempurung.
Katanya, siasatan awal mendapati insiden bermula susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang.
“Semua mangsa terperangkap kerana air naik secara mendadak ke kawasan alur air di dalam gua dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter.
“Mangsa terbabit adalah kru penggambaran filem ‘Bursting Point’ membabitkan syarikat perfileman antarabangsa dari Singapura yang menjalankan penggambaran,” katanya.
Kejadian itu turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berharap operasi menyelamat berjalan lancar dan dipermudahkan.
Leave a Reply