DATUK Seri Awnar Ibrahim tidak wajar dinamakan calon Perdana Menteri sehingga selesai kes mahkamah atas dakwaan serangan seksual terhadap Yusoff Rawther.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, ini kerana sudah menjadi amalan di mana-mana negara di dunia, apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri daripada menyertai sebarang pilihan raya.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
Saya merujuk kepada pengumuman oleh Pakatan Harapan di Perak pada 20hb Oktober 2022 bahawa Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri bagi gabungan politik tersebut.
Pengumuman pencalonan Perdana Menteri ini dibuat walaupun terdapat kes dakwaan serangan seksual di Mahkamah Tinggi yang difailkan oleh Yusof Rawther terhadap Anwar Ibrahim yang dikatakan berlaku pada tahun 2018 di kediaman pemimpin PKR tersebut.
Yusof Rawther, bekas pembantu Anwar, memfailkan kes sivil ini terhadap Anwar pada 14 Julai 2021, dan kes ini sedang dibicarakan di mahkamah.
Tambahan pula, pada 19 Oktober 2022, Yusof Rawther telah menang satu kes saman yang berkaitan dengan isu ini terhadap Setiausaha Akhbar Anwar.
Mahkamah memerintahkan ganti rugi RM200,000 dan kos dibayar kepada Yusof.
Di mana-mana negara di dunia, adalah satu kebiasaan bahawa apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri daripada menyertai sebarang pilihan raya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah tersebut.
Ini adalah untuk memastikan hanya pemimpin yang bersih dan bermoral tinggi memegang jawatan kerajaan yang penting bagi memelihara keyakinan umum dan reputasi negara.
Oleh demikian, adalah mengejutkan dan amat tidak wajar bagi Pakatan Harapan untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebelum selesainya kes mahkamah Yusof Rawther terhadap beliau.
Nama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara.
Dalam keadaan ini, adalah terpulang kepada Pakatan Harapan untuk bertanggungjawab dan mengkaji semula pencalonan bagi jawatan Perdana Menteri.
Mereka perlu menghormati proses pilihan raya negara dengan memastikan semua calon, terutamanya calon PM adalah bersih dan penuh integriti.
Sehingga Mahkamah Tinggi memberi satu keputusan dalam kes Yusoff Rawther, Anwar Ibrahim tidak layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.
Datuk Dr. Haji Abdul Latiff Ahmad
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
Leave a Reply