Oleh RIZQI ZABIDI
TINDAKAN bekas Ketua Bahagian Bersatu Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim keluar daripada parti hari ini sudah dijangka dan bukanla sesuatu yang mengejutkan.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli, tindakan dilakukan Syed Sobri sebelum ini juga tampak ‘berlainan’ daripada kebiasaan.
Malah katanya, Syed Sobri sebelum ini sememangnya pernah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti sejak sekian lama.
“Dalam Bersatu, kita ada saluran untuk menyalurkan sebarang rasa tak puas hati. Kita ada perjumpaan bulanan dan perkara itu boleh disuarakan melalui perbincangan. Disebabkan itu alasan menyatakan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan adalah sesuatu yang janggal. Lagi pun rasa tidak puas hati itu dikatakan sudah timbul sejak sekian lama tetapi mengapa baru disuarakan pada musim pilihan raya?
“Jadi saya rasa ruang ini digunakan kerana kita berada dalam fasa untuk masuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Kita faham waktu ini adalah ruang yang berharga bagi orang politik yang ada agenda peribadi,” katanya pada sidang akhbar di Padang Terap hari ini.
Beberapa jam sebelum sidang akhbar itu, Syed Sobri terlebih dulu mengumumkan pengundurannya daripada Bersatu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Kuala Nerang bagi penggal 2008 hingga 2013 itu turut mengumumkan penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Masyarakat Padang Terap yang akan memberi sokongan kepada calon BN di Parlimen tersebut dalam PRU akan datang.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar turut menafikan dakwaan Syed Sobri kononnya lebih 1,000 ahli Bersatu turut menuruti jejaknya meninggalkan parti itu.
“Semakan Bersatu Bahagian ini mendapati hanya empat orang saja dalam sidang akhbar tersebut yang benar-benar menjadi ahli parti,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Padang Terap, Mohd. Zharif Mohd. Zohdi memaklumkan, Syed Sobri sebenarnya sudah meletak jawatan pada 15 Oktober lalu.
“Sebaik beliau meletakkan jawatan, kami telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan kesemua 21 AJK tersebut kekal bersama Bersatu hingga kini,” katanya.
Leave a Reply