Oleh BADLISHAH MAT
NARATIF politik Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkisar kepada kepentingan rakyat, sebaliknya hanya membabitkan karier politik masing-masing, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Naib Presiden UMNO itu berkata, kedua-dua ahli politik itu hanyalah watak lama yang sudah berpuluh tahun dihidangkan kepada rakyat.
Justeru, kata beliau adalah perkara biasa bagi mana-mana parti yang bertanding memiliki impian untuk menang dengan meletakkan pelbagai strategi termasuk bekerjasama dalam pilihan raya.
“Dr. Mahathir dengan Anwar adalah nama yang telah berpuluh-puluh tahun (dalam politik). Bergaduh pun sejak tahun 1998 sampai sekarang. Lepas itu sekejap baik, sekejap tak baik, cium mulut lepas tu tak cium mulut.
“Rakyat nampak sekejap awak duduk sekali kononnya nak berkhidmat untuk rakyat tetapi 22 bulan semua orang tahu apa yang Pakatan Harapan (PH) buat? Lepas itu mereka berpisah buat (haluan) masing-masing.
“Ini kerana impian mereka bukan untuk memelihara rakyat, tetapi cerita pasal politik sahaja. Aku nak ‘bunuh’ kau, kau nak ‘bunuh’ aku itu sahaja tak ada cerita lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Daerah Padang Terap di Kuala Nerang, Padang Terap hari ini.
Beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Padang Terap mengulas kemungkinan kerjasama sekali lagi antara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pengerusi PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Mahdzir berkata, pelaksanaan pilihan raya kali ini sepatutnya membawa agenda lebih besar daripada rencana politik kedua-dua individu berkenaan kerana ia melibatkan pembinaan negara.
Tambahnya, sudah tiba masa untuk rakyat memberi ruang kepada ahli politik lain memacu negara selepas kedua-dua pemimpin berkenaan terlalu kerap muncul untuk merebut kuasa sejak puluhan tahun lalu.
Malah, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat untuk menilai jalan cerita dibentangkan Dr. Mahathir dan Anwar sejak puluhan tahun lalu.
Leave a Reply