Dua terbunuh, MPV rempuh tiang MRT

DUA  lelaki maut, manakala tiga lagi cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang Transit Aliran Massa (MRT), berhampiran Eco Cheras Mall, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Komander Operasi Bomba Cheras Mohd Rizuan Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 6.42 pagi sebelum tujuh anggota tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

Beliau berkata, kelima-lima mangsa yang tersepit dalam kenderaan jenis Toyota Innova itu berjaya dikeluarkan pada 7.06 pagi.

“Pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala tiga lagi cedera serta berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menerima rawatan sementara mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Identiti kesemua mangsa serta punca kemalangan masih dalam siasatan, katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *