UMNO PRU-15 khemah besar

BN bakal bentuk kerajaan dengan PH selepas PRU15?

PENDIRIAN Barisan Nasional (BN) untuk tidak mengadakan sebarang rundingan dengan Pas selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menimbulkan cakap-cakap tentang kemungkinan gabungan ditunjangi UMNO itu bakal menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) sekiranya tiada pihak memperoleh majoriti jelas.

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Ahmad Martadha Mohamed bagaimanapun berkata, parti-parti komponen PH dilihat mempunyai perjuangan dan ideologi berbeza dengan BN dan gandingan antara kedua-dua gabungan ini hampir mustahil untuk dilakukan.

“PKR memang menidakkan kepentingan orang Melayu manakala DAP pula parti yang tidak akan diterima Melayu. Amanah pula tidak akan terima kehadiran Pas,’’ katanya kepada portal MalaysiaNow.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Oktober menegaskan tidak akan mengadakan rundingan dengan Pas untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU15. Malahan Zahid juga menggelar Pas sebagai “parti pak lebai”.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berbeza pendapat, mengatakan kerajaan campuran antara BN dan PH masih boleh berlaku sekiranya kedua-dua gabungan politik ini memiliki pecahan kerusi Parlimen sama rata.

“Contohnya UMNO berjaya menang 80 kerusi manakala PKR dan DAP berjaya tawan 70 kerusi, sudah pasti parti-parti politik akan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan campuran. Jika ini berlaku, UMNO perlu akur kerana keputusan ini sudah menjangkaui parti,” katanya.

Mengulas berhubung kenyataan “keras” Zahid terhadap Pas, Awang Azman berkata dalam politik, tiada kawan dan musuh yang kekal.

“Yang kekal ialah kepentingan, jadi, kemungkinan selepas PRU15 perkara itu boleh berubah,’’ katanya.

Martadha juga berkata, meskipun Zahid yang juga Presiden UMNO sudah mengeluarkan kenyataan begitu, ruang untuk kerjasama antara kedua-dua parti masih terbuka.

Malah, katanya, kerjasama antara UMNO dan Bersatu juga dilihat masih munasabah memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai ideologi yang sama iaitu menjaga kebajikan dan kepentingan orang-orang Melayu.

Sebelum ini, ramai penganalisis politik menjangkakan pembentukan kerajaan campuran selepas PRU15 terutama apabila UMNO dan BN dijangka sukar meraih kemenangan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.

Menurut Martadha, UMNO sudah tentu akan memilih parti yang mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh untuk mengadakan kerjasama.

“Oleh itu jika UMNO ingin membentuk kerajaan campuran, pilihan pertama untuk gandingan ini sudah tentu Pas diikuti dengan Bersatu,’’ katanya.

Ditanya mengenai gandingan BN dengan Gerakan Tanah Air (GTA), Martadha berkata, ia juga mungkin sukar direalisasikan memandangkan parti yang menerajui gerakan itu iaitu Pejuang dilihat kecil dan tidak signifikan.

“Jadi, nampak seperti tiada sumbangan yang meyakinkan, sebab tu gabungan PN dan BN dilihat paling menyerlah,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *