Wanita warga emas maut kereta dirempuh lori air batu

Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

SEORANG wanita maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori air batu di Kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Nor berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 1.45 petang melibatkan kereta Proton Waja dan lori berkenaan.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Waja dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang dan lori pula dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian, lori itu disyaki hilang kawalan dan masuk laluan Proton Waja.

“Akibat perlanggaran itu, wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan Proton Waja, Ungku Zaidah Mansor, 72, berasal dari Mersing meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu Proton Waja, Md. Yunus Dhal, 70, juga beralamat di Mersing cedera di bahagian kepala dan tangan.

Beliau memberitahu, pemandu lori, Wong Soon Hing , 61, pula cedera ringan dan seorang kanak-kanak lelaki, Afif Imran Shamsul, 2, yang berada di tempat duduk belakang Proton Waja luka di bawah dagu dan leher.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescua Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai ke lokasi kemalangan, Ketua Operasi dari BBP Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Norhakim Mohamad Nordin mendapati kemalangan melibatkan kereta Proton Waja dan lori berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati tiga mangsa berada dalam kereta Proton Waja manakala seorang lagi ditemui dalam lori berkenaan. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa Protan Waja dilakukan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Menurut Mohd Fauzi, semua mangsa yang cedera dihantar menggunakan EMRS dan ambulan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang untuk rawatan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *