LENA seorang wanita bertukar cemas selepas seekor lipan bara ditemui menumpang tidur di bawah bantal ketika bangun untuk menyusukan anak.
Dalam kejadian 5.30 pagi Jumaat lalu, Nursyahieda Zainal Asri, 32, terjaga selepas anak perempuannya, Nashreen Nelissa Hirul Faizi, 11 bulan, menangis kelaparan.
Katanya yang menetap di Kluang, Johor, ketika bangun dalam samar-samar cahaya lampu bilik, tiba-tiba Nursyahieda merasakan ada sesuatu merayap di belakang badan sehingga ke kepala.
“Saya berhenti sekejap susukan anak dan melihat sekeliling, tetapi tidak nampak apa-apa.
“Sekali bila angkat bawah bantal, ada seekor lipan bara bersaiz besar,” ceritanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.
Nursyahieda berkata, dalam situasi cemas itu dia terus kejutkan suaminya.
“Saya minta suami amik gunting, tapi dia nak guna penyepit.
“Tiba-tiba lipan terlepas sebelum berjaya ditangkap dan suami kemudian membunuhnya,” ujarnya.
Ceritanya lagi, dia tidak dapat meneruskan tidur dan akhirnya terpaksa duduk di sofa dekat ruang tamu kerana trauma akan kejadian tersebut.
Malah, Nursyahieda sudah membersihkan kawasan rumahnya namun masih tidak menemui punca dari mana datangnya lipan itu.
Katanya, ia insiden ini pertama berlaku.
“Lepas kejadian itu, saya jadi susah nak tidur. Sekejap-sekejap terjaga dan periksa anak-anak serta suami sekiranya ada lagi kewujudan lipan tersebut,” katanya.
Kejadian tersebut turut dikongsikan dalam laman TikToknya dan sehingga kini ditonton lebih 1.5 juta kali.
Tinjauan UtusanTV di ruangan komen mendapati rata-rata warganet berkongsi pengalaman yang sama berdepan serangga berbisa itu.
“Sy baru je kena camni. Tidur depan tv layan movie. Pastu rase bergerak kt leher. Bangun2 besar cmtu lah atas bantal. Dgn baby kt sebelah duk tdur,” kata Fatinsofia7000.
“Srs dh fobia kena lipan dulu smpai masuk hospital sebab malam tk nampak pegi pijak lipan tu smpai kaki bengkak, smpai jdi fobia dh skrng,” tulis Anis.
“Jangan mcam tu bang…dia boleh terbang taw..Sya pernah kena dh…nasib Allah lindung Sya elak sikit ja …tkot tngok pun,” komen Nurul Eyda.
Leave a Reply