Rakyat perlu diingatkan tentang keburukan pemimpin UMNO

MENJADI tanggungjawab rakyat yang cinta pada bangsa dan negara untuk memperingati pengundi akan keburukan pemerintahan UMNO di bawah pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sekutunya, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), jika kerajaan UMNO tidak ‘ditamatkan’, Malaysia akan mengalami keadaan yang lebih teruk, malah pemulihan mungkin tidak dapat dilakukan.

Justeru, menurutnya lagi, kesemua kesalahan dan kegagalan UMNO perlu didedah supaya rakyat yang cinta negara dan bangsa akan menolak parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kepimpinan UMNO tidak senang mendengar serangan terhadap parti itu. Konon serangan disebabkan percubaan menutup kegagalan penyerang.

“Sebenarnya serangan terhadap UMNO disebabkan khuatir parti kleptokrat ini memenangi PRU-15 dan mendiri kerajaan kleptokrasi.

“Jika keburukan UMNO tidak didedah besar kemungkinan pengundi tidak fikir panjang dan undi UMNO seperti biasa.

“Apatah lagi kepimpinan UMNO amat berjaya menutup perbuatan salah mereka dengan mendakwa ahli dan penyokong tidak perlu malu apabila melaku kesalahan.

“Dengan sifat ini kesalahan Presiden UMNO yang sudah dipenjara dan dikena denda RM210 juta bukanlah sesuatu yang tidak baik dan perlu dirasai malu oleh ahli dan penyokong UMNO.

“Oleh itu jangan malu apabila menyokong UMNO, apatah lagi sokongan akan dibalas dengan sogokan wang.

“Pedulikan apa akan terjadi kepada negara apabila puak kleptokrat ‘Cash is King‘ memerintah sekali lagi,” dakwa Dr. Mahathir dalam satu kenyataan, hari ini seperti dilaporkan Astro Awani.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Malaysia telah menjadi negara separuh maju sehingga dikenali sebagai Harimau Asia, namun apabila Najib menjadi Perdana Menteri, beliau menolak khidmat untuk bangsa dan negara.

‘Dr. Mahathir turut mendakwa bagi menjayakan kepercayaan ‘cash is king’ atau ‘wang adalah raja’ Najib mencurahkan berbillion ringgit kepada UMNO dan rakyat secara percuma.

“Daripada mana datang dana yang besar ini? Mudah sahaja. Najib dirikan 1MDB syarikat milik kerajaan bermodal RM1 juta dan syarikat meminjam lebih dari RM40 billion dengan faedah yang tinggi.

“Sebahagian dari wang ini dimasukkan dalam akaun peribadi Najib dan wang inilah yang diagih kepada pemimpin dan bahagian UMNO dan mereka pun tutup mata terhadap kesalahan Najib memasukkan wang yang dipinjam oleh 1MDB ke dalam akaun peribadinya.

“Sebaliknya mereka teruskan sokongan mereka kepada Najib. Pengundi dalam PRU juga disogok oleh Najib supaya UMNO menang.

“Najib mungkin percaya bahawa melalui sogokan ini ia akan kekal sebagai Perdana Menteri dan sebagai Perdana Menteri ia boleh halang tindakan undang-undang terhadap pencurian wang 1MDB milik Kerajaan.

“Tetapi dalam PRU-14, Najib kalah dan tidak lagi dapat sembunyi jenayah yang dilakukan dan kekalahan BN juga membongkar bermacam-macam jenayah dan salah guna kuasa yang dilakukan semasa pemerintahan UMNO dan Najib,” ujarnya.

Dr. Mahathir berkata, prestasi pencapaian Malaysia merosot sehingga dikenali oleh dunia sebagai negara kleptokrasi iaitu negara pencuri yang dipimpin oleh pencuri, malah Malaysia tidak lagi menjadi Harimau Asia.

“Di masa yang sama, politik Malaysia menjadi tidak stabil dengan kerajaan-kerajaan yang lemah yang tidak cekap.

“Prestasi Malaysia merosot teruk, dan kewangan Malaysia tertekan kerana bayaran hutang yang bertimbun,” dakwanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *