SEORANG polis bantuan maut selepas Proton Persona yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas di jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, pukul 1 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang berusia 20 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dipercayai telah memotong beberapa buah kenderaan.
“Tindakan itu menyebabkan kereta tersebut telah bertembung dengan sebuah bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
“Semasa kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar Gua Musang hendak pulang ke rumahnya di Chiku 2,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.
Choon Foo berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Leave a Reply