Nurul Izzah ‘dijangka kekal’ pertahan Permatang Pauh

NURUL Izzah Anwar ‘dijangka kekal’ mempertahankan Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Perkara tersebut dimaklumkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang.

“Ada kemungkinan besar parti menuju ke arah itu,” kata Anwar ketika ditanya pemberita malam tadi sama ada anak perempuannya akan mempertahankan kerusi itu yang dimenangi pada 2018 dengan majoriti 15,600 undi, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Kerusi berkenaan yang dianggap kawasan kubu kuat ‘keluarga Anwar’, dimenangi Anwar, isterinya dan Izzah, sejak sembilan penggal lalu, bermula 1982.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum itu ditanya berhubung khabar angin kemungkinan Izzah berdepan Zuraida Kamaruddin di Ampang.

Bekas ketua Wanita PKR itu menang di Parlimen Ampang pada PRU-14 pada 2018.

Zuraida bagaimanapun menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua tahun selepas itu.

Awal tahun ini, beliau kemudian meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), di mana beliau memegang jawatan Presiden.

Anwar tidak memberi maklum balas berhubung spekulasi terbabit, namun hanya berkata PKR akan berhabis-habisan merampas kembali kerusi yang hilang daripada ‘pengkhianat’ atau mereka yang berpaling tadah.

“Kepala pengkhianat ada di Gombak, ekornya di Nibong Tebal,” katanya merujuk kepada bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Mansor Othman, yang meninggalkan parti itu dengan menyertai Bersatu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *