KONSERT A Night To Remember Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza Live At Persada Johor yang sepatutnya berlangsung pada 18 dan 19 November depan dipinda ke tarikh baharu.
Mengumumkan perkara itu menerusi laman Instagram (IG), Siti berkata, perubahan dibuat disebabkan 19 November adalah tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Alhamdulillah. Persada Johor sudah pun mengumumkan tarikh baharu iaitu 16 dan 17 Disember depan.
“Mengikut tarikh asal untuk persembahan hari kedua saya jatuh kepada hari mengundi.
“Kepada peminat yang membeli tiket pada tarikh 18 dan 19 November depan boleh berhubung dengan penganjur atas perubahan tarikh baharu ini,” tulis Siti.
Selain Siti, konsert itu turut menampilkan penyanyi Aina Abdul dan Khai Bahar dan menyasarkan kehadiran 5,000 peminat.
Kali terakhir penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu menjayakan konsert di Johor Bahru kira-kira 10 tahun lalu.
Sementara itu, menerusi halaman rasmi kelab peminat, Sitizone Official Page di Facebook (FB), pengurus Siti, Rozi Abdul Razak mengumumkan tarikh penganjuran Konsert Music Of The Soul di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 5 dan 6 November depan dikekalkan.
“Persembahan Music Of The Soul di Dewan Plenari KLCC tidak mengalami perubahan, memandangkan tarikh mengundi pada 19 November depan,” katanya memetik laporan BH Online.
Leave a Reply