SEORANG wanita rentung apabila kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer (KM) 10.9 Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) dekat Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu turut mengakibatkan seorang penumpang lelaki dilaporkan cedera, manakala tiga lagi penumpang wanita terselamat.
Komander Operasi, Khairuddin Abdurrahman, berkata Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 6.14 pagi.
Berikutan itu, beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil serta BBP Pudu dengan kekuatan 17 anggota, dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah kenderaan terbakar berpunca daripada kemalangan dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Pasukan segera memadamkan kebakaran. Kereta itu musnah terbakar 100 peratus dan seorang wanita ditemui rentung di bahagian pemandu.
“Seorang penumpang lelaki dilaporkan cedera di bahagian kepala, manakala tiga lagi penumpang wanita selamat. Pemandu kereta Proton Saga juga dilaporkan tiada mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian hari ini.
Beliau berkata, kes kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply