Hasrat Kuala Lumpur (KL) City FC untuk menempa sejarah muncul juara Asia lebur selepas tumpas 0-3 kepada Kelab Al Seeb dari Oman dalam aksi final Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, malam ini.
Sebaliknya, Al Seeb melakar sejarah menjadi pasukan pertama dari Oman merangkul piala berprestij itu serta hadiah berjumlah US$1.5 juta (kira-kira RM7.1 juta) dalam penampilan sulung dalam pertandingan tersebut.
KL City FC membawa pulang hadiah wang tunai US$750,000 (RM3.5 juta).
Walaupun tewas, pujian harus diberikan kepada KL City FC susulan pencapaian mereka muncul kelab kedua dari Malaysia mara ke final Piala AFC selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukannya pada 2015 yang menyaksikan Harimau Selatan muncul juara, menewaskan Istiklol dari Tajikistan 1-0.
Dalam aksi final di hadapan 27, 722 penonton, KL City FC terlebih dahulu mencemaskan Al Seeb namun sepakan pemain tengah Zhafri Yahya dinafikan penjaga gol, Ahmed Faraj Al Rawahi pada minit ke-18.
Selang empat minit kemudian, juara Liga Profesional Oman itu mengejutkan tuan rumah apabila sepakan sudut diambil tonggak serangan Ali Sulaiman Al-Busaidi gagal dibaca penjaga gol, Kevin Ray Mendoza, seterusnya menyaksikan bola terus menerjah jaring untuk gol pembukaan pelawat.
Pasukan kendalian Rasheed Jabar Al-Yafai yang terus mengasak kubu skuad bimbingan Bojan Hodak berpeluang menambah jaringan kedua sebelum rembatan jarak jauh Daniel Ajibola ditepis Mendoza pada minit ke-35.
Bagaimanapun, Al Seeb melenyapkan sorakan penyokong ‘The City Boys’ seketika apabila hantaran Salaah Said Al Yahyaei ditanduk penyerang Abdul Aziz Humaid Al Muqbaili untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-37 dan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama tamat.
KL City FC, yang meningkatkan tempo permainan pada 10 minit pertama sejurus babak kedua bersambung berpeluang menyamakan kedudukan namun sepakan percuma lemah diambil ketua pasukan, Paulo Josue tepat ke dakapan Ahmed Faraj pada minit ke-56.
Hujan renyai yang membahasahi padang ternyata menjejaskan rentak permainan juara bertahan Piala Malaysia itu dengan Al Seeb menggunakan kesempatan tersebut untuk menambah derita tuan rumah, hasil sepakan padu dari jarak dekat oleh Muhsen Al Ghassani bagi gol ketiga pasukannya pada minit ke-69.
Biarpun ketinggalan dengan jaringan agak besar, situasi itu ternyata tidak mematahkan skuad warga kota untuk sekurang-kurangnya mencari gol sagu hati sehingga menyaksikan percubaan Paolo Josue pada minit ke-90 dipatahkan Ahmed Faraj. – BERNAMA
Leave a Reply