PENGURUSAN masalah rakyat akan menjadi fokus utama Perikatan Nasional (PN) jika mendapat mandat mentadbir negara selepas 19 November ini dan bukannya memikirkan cara untuk membebaskan diri daripada kes mahkamah.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fokus utama PN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ialah mengurus masalah kebajikan rakyat yang tertekan dengan ketidaktentuan ekonomi yang dijangka bertambah buruk tahun hadapan.
Beliau menegaskan, ia perlu dibuat dengan secepat mungkin kerana dibimbangi akan menimbulkan lebih banyak masalah berikutan jangkaan pakar berlakunya krisis ekonomi yang jauh lebih teruk berbanding tahun ini.
“Pentadbiran kerajaan baharu akan memberi fokus utama untuk menyelamatkan rakyat yang tertekan dengan masalah pendapatan merosot, hilang pekerjaan, isu kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit yang semuanya bukan petanda baik.
“Bagaimana kita nak uruskan itu akan jadi keutamaan kerajaan insyaAllah jika kita menang pilihan raya yang akan datang nanti,” katanya semasa berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Kelantan malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata,
selain menguruskan ekonomi beliau juga memberi jaminan peluang pekerjaan kepada golongan anak muda akan menjadi tumpuan kerajaan yang baharu akan dibentuk nanti.
Katanya, masalah pekerjaan khasnya di Kelantan akan dapat diatasi dengan membawa masuk pelaburan ke negeri itu selain menyediakan dan melengkapkan infrastruktur bagi memudahkan kemasukan pelabur.
“Selain itu untuk generasi muda di Kelantan kita juga akan memberi penekanan kepada usaha memantapkan kemudahan pendidikan,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut memberi jaminan hak Kelantan terutamanya pembayaran penuh royalti kepada kerajaan negeri akan ditunaikan PN tanpa dipersoalkan lagi jika menang PRU-15.
“Royalti minyak, kita bagi sepenuh-penuhnya. Tidak akan dipersoalkan lagi.
“Sebanyak RM400 juta, kalau tak silap saya yang telah pun kita serahkan kepada kerajaan di Kelantan pada 2020 dan 2021 lalu,” katanya lagi.
Leave a Reply