PAS sama sekali tidak tersinggung digelar “parti pak lebai” kerana merasakan ia bukan gelaran yang hina.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ini kerana Pas dianggap “parti pak lebai” dan “parti kampung” sejak dahulu lagi.
“Bagi kita, gelaran ‘parti pak lebai’ bukan satu gelaran yang hina.
“Gelaran sebagai penyamun politik itu lebih hina,” katanya pada Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Amar mengingatkan pengkritik bahawa Pas yang digelar “parti pak lebai” itu akan mengubah politik negara pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, gabungan itu menolak sebarang bentuk rundingan bersama Pas selepas PRU15 kerana menganggap parti berkenaan tidak setia.
Malah katanya, pemimpin Pas dilihat sering berubah-ubah pendiriannya.
“Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak. Pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain.
“Apabila ada situasi politik baharu mereka keluar fatwa baharu, bila untuk dirinya keluar fatwa baharu, bila nak salahkan orang keluar. Guna ayat al-Quran dan hadis yang maknanya tetap sama, tetapi ditafsir berlainan. Cukuplah pak lebai, bertaubatlah cepat,” katanya pada satu acara di Bandar Baharu, Kedah baru-baru ini lapor Berita Harian.
Leave a Reply