‘’SAYA belum terniat pun untuk melakukan yang sedemikian.”
Itulah komen Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi apabila ditanya benarkah laporan sebuah akhbar bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk.
Sehubungan itu Pengerusi Barisan Nasional (BN) tersebut menegaskan, beliau tidak pernah terfikir untuk melakukan sedemikian dan tidak tahu bagaimana dakwaan seperti itu boleh timbul dan dari mana sumber kenyataan berkenaan diambil.
“Saya tak tahu mana punca dan sumber yang menjurus (laporan) begitu. Saya fikir eloklah kita tanya pada orang itu atau kumpulan itu (yang membuat dakwaan) dan saya belum terniat pun untuk melakukan yang sedemikian (tidak bertanding PRU15),” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Solidariti dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera BN PRU15 di Akademi Binaan Malaysia di Jenagor, di Kuala Berang hari ini.
Akhbar Sinar Harian hari ini memetik sumber yang mendakwa Ahmad Zahid tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU15, sebaliknya diganti anaknya, Datuk Nurul Hidayah atau orang kanan beliau.
Terdahulu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata dakwaan kononnya Ahmad Zahid tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU15 sebagai propaganda politik.
“Saya tidak pernah dengar dan tiada kenyataan rasmi dari Presiden UMNO (tidak pertahan kerusi Parlimen Bagan Datuk). Saya anggap (laporan itu) hanya propaganda politik,” katanya seperti dilaporkan portal UMNO Online.
Leave a Reply