Takut diserang orang ramai, pencuri hubungi polis merayu untuk diselamatkan

SEORANG pencuri profesional mengambil keputusan menamatkan kerjaya sebelum waktunya dengan menghubungi sendiri polis selepas perbuatannya dikesan oleh orang awam.

Ketua Polis tempatan, Asad uz Zaman, berkata pencuri itu, Yasin Khan, 40, dilaporkan memecah masuk kedai runcit di selatan bandar Barisal untuk mencuri barangan dari rak.

“Apabila dia selesai melakukan kerja itu dan hendak keluar, (Yasin) Khan menyedari hari sudah cerah dan orang ramai mula datang ke pasar,” katanya menurut Berita Harian yang memetik laporan AP.

Berikutan itu, orang awam yang marah mula berkumpul dan disebabkan takut diserang, Yasin menghubungi talian kecemasan polis untuk merayu untuk diselamatkan.

“Kami pergi ke kedai dan membawanya keluar sambil diiringi polis sebelum orang ramai bertindak.

“Saya tidak pernah melihat kejadian sebegitu dalam kerjaya saya,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai, Jhontu Mia, berkata Yasin telah menyumbat beg besar dengan barang-barang berharga tetapi tidak dapat melarikan diri dari tempat kejadian.

Dia telah ditangkap dan dihantar ke penjara selepas mengaku pecah masuk, malah turut dikehendaki kerana terbabit dengan beberapa lagi kes pecah rumah di kawasan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *