Jika saya dilantik PM, saya akan potong gaji, elaun PM – Anwar

PENGERUSI  Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), perkara pertama yang akan dilakukan adalah dengan melakukan pemotongan gaji dan elaun bagi jawatan berkenaan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, keputusan itu dibuat susulan keadaan ekonomi yang didakwa semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat.

“Rakyat hidup susah, derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tak terkawal, dan kemudahan kesihatan ibu bapa tak terurus. Maka biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin oleh Allah SWT, 20 hari bulan saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri itu sendiri.

“(Gaji dan elaun untuk) Menteri-menteri saya akan runding kemudian, akan tetapi untuk (gaji dan elaun) perdana menteri, saya nak beri tahu, kalaulah keadaan ekonomi seperti ada sekarang, saya tak sanggup ambil gaji sebagai perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di Ipoh, malam.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Pengerusi PH yang antaranya, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; serta Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, Anwar berkata sekiranya sekiranya PH berjaya menawan kembali Putrajaya, jumlah anggota kabinet juga akan dikurangkan berbanding sebelum itu.

“Dari (Tun Dr) Mahathir Mohamad turun ke Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin). (Muhyiddin) dapat jawatan (perdana menteri), tambah bilangan menteri. Kehidupan rakyat tak terurus.

“Daripada Muhyiddin dapat kepada kepada Ismail (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), (jumlah) menteri bertambah, Penasihat perdana menteri bertambah.

“Nasib rakyat, entah ke mana juga. Dasar ekonomi tak menentu, pelaburan tak datang, keyakinan (pelabur) tidak ada. Doakan insyaAllah, Dari Ismail sampai kepada Anwar, kita ubah landskap politik dan ekonomi negara kita,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar merupakan calon perdana menteri sekiranya PH berjaya memenangi PRU15.

 Saifuddin Nasution umum Anwar calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan

  Katanya perkara itu diputuskan selepas beberapa siri rapat temu dan mesyuarat antara pimpinan tertinggi gabungan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *