Wanita mengandung maut kemalangan elak ular

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG wanita yang sedang menunggu hari kelahiran anak keduanya meninggal dunia setelah motosikal dinaikinya terlibat dalam kemalangan bersama sebuah kereta di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang di Jalan Jeniang Sik-Pedu, Sik.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, yang berasal dari Bandar Baru Beris Jaya dikatakan cuba mengelak ular yang secara tiba-tiba muncul di atas jalan raya menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya.

Bagaimanapun, kandungannya berjaya diselamatkan setelah dia dibawa ke hospital bagi mengeluarkan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa menaiki motosikal itu bersama seorang lagi wanita, namun mangsa kedua hanya mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Daerah Sik.

Katanya, berdasarkan siasatan di tempat kejadian, motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggangi wanita itu bergesel dengan Perodua Axia yang sedang bergerak dari arah sama.

Kandungannya berjaya diselamatkan setelah dia dibawa ke hospital bagi mengeluarkan seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ketika kejadian.

“Wanita itu mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk mukanya. Bayi lelaki yang juga anak keduanya itu kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut.

“Dalam kemalangan itu, mangsa cuba mengelak seekor ular yang keluar secara tiba-tiba di bahu kiri jalan, lalu menyebabkan dia memasuki laluan kereta dan berlaku pelanggaran di bahagian sebelah kiri kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Abdull Razak memaklumkan, pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan ketika dia sedang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Enggang untuk mengambil anaknya yang bekerja di situ.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *