PRU-15: Meta ambil langkah tingkatkan integriti

GERGASI media sosial Meta mengambil langkah tertentu untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan selain memerangi penyebaran maklumat yang salah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Malaysia.

Ketua Politik dan Kerajaan Meta di Rantau Asia Pasifik, Roy Tan berkata, ia termasuk meningkatkan ketelusan bagi iklan politik di platformnya, seperti mengesahkan identiti dan lokasi mereka yang membayar iklan tersebut, serta penciptaan perpustakaan iklan yang boleh diakses secara umum.

Menurutnya, meningkatkan ketelusan iklan adalah salah satu perkara penting bagi integriti pilihan raya.

“Jadi, jika anda ingin menyiarkan iklan politik, anda perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu, kemudian berikan maklumat mengenai organisasi mana anda berasal dan siapa yang membayar iklan ini.

“Kami juga ada perpustakaan iklan yang membolehkan wartawan, penyelidik atau orang awam melihat siapa di sebalik iklan ini di Facebook dan Instagram… melihat perbelanjaan iklan dan demografi secara kasar yang disasarkan oleh iklan ini.

“Ini untuk memastikan pengiklan dan kami sebagai sebuah syarikat yang lebih bertanggungjawab,” katanya ketika taklimat media maya mengenai usaha Meta dalam melindungi integriti PRU15, lapor Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Tan dalam laporan itu menjelaskan, iklan diarkibkan dalam pustaka iklan Meta sehingga tujuh tahun, walaupun iklan tersebut tidak lagi aktif.

Tan juga menjawab persoalan mengapa Meta, yang merupakan pemilik Facebook, Instagram dan WhatsApp, masih menerima iklan politik walaupun gergasi teknologi lain seperti Google dan Twitter telah mengharamkan iklan sedemikian.

Dia berkata mereka mahu menyediakan wacana, lebih-lebih lagi media sosial merupakan alat yang begitu berkuasa untuk menyebarkan maklumat.

Namun, pada masa yang sama, katanya, mereka mahu memastikan tahap ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi.

“Kami mendasarkan bahawa polisi iklan politik kami pada fakta bahawa orang ramai harus boleh mendengar daripada siapa yang mereka mahu memimpin mereka dan diundi serta bahawa mereka harus diteliti dan dibahaskan secara terbuka,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *