Oleh BADLISHAH MAT
SASARAN Barisan Nasional (BN) untuk menang sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Kedah sebagai satu mimpi, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, perkara itu melihat kepada kedudukan BN yang hanya memenangi dua kerusi ketika PRU14 di Padang Terap dan Baling.
“Saya tak nampak pun (menang 10 kerusi). Siapa yang nak bertanding pilihan raya boleh cakap apa sahaja. Nak berapa kerusi, cakap sahajalah. Realitinya hanya berlaku di hari pengundian yang rakyat akan buat pilihan. Malam itu tahu keputusan, esok boleh tahu gelak ka teriak?,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Aerotropolis di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gabungan itu menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU15.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, proses rundingan kerusi antara Pas dan Bersatu sudah selesai melalui persefahaman kedua-dua parti itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara itu dan meminta semua pihak menunggu sehingga hari penamaan calon yang akan diumumkan kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi menafikan spekulasi yang beliau kononnya akan bertanding pada PRU15.
“Saya tak bertanding, itu saya boleh jawab terus. Saya kena ka bagi sebab tak bertanding? Dok macam inilah tak payah bagi sebab. Tidak bertanding biasalah. Saya baru sepenggal jadi wakil rakyat,” katanya.
Leave a Reply