Kes tikam adik hingga maut: Adik-beradik harapan keluarga, taat agama

Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

DUA beradik yang terbabit dalam insiden menyayat hati di Kampung Ulu Pulai, Iskandar Puteri mempunyai hubungan yang cukup baik selain amat menghormati ibu bapa dan bijak dalam pelajaran.

Menurut ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, seluruh ahli keluarga masih lagi terkejut dengan kejadian yang berlaku pada tengah hari semalam.

“Kakak mangsa dan adiknya masing-masing berusia 18 dan 16 tahun merupakan anak sulung dan anak kedua daripada lima beradik.

“Kedua-duanya anak yang baik dan sangat bijak kerana sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut hari ini.

Semalam, polis menahan remaja itu selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut pada 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dilapor berkata, tragedi malang itu dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia 16 tahun bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Beliau berkata, mereka berebut tempat duduk dalam kereta dipercayai menjadi punca pergaduhan dua beradik itu.

Mengulas lanjut, ahli keluarga itu berkata, kedua beradik tersebut juga diberikan didikan agama cukup baik dan menjaga solat lima waktu.

Katanya, mangsa berusia 16 tahun pernah belajar di Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Iskandar Puteri.

“Sementara kakaknya pula merupakan pelajar di Tingkatan Enam. Mereka berdua serta tiga lagi adik, adalah anak yang sangat baik dan dididik untuk saling berkasih sayang,” katanya.

Jelasnya, ibu bapa mangsa masih trauma dan amat tertekan dengan insiden yang berlaku itu.

“Mereka amat sedih, apatah lagi insiden tragis itu tular sejak malam tadi,” katanya.

Sementara itu Mahkamah Majistret Johor Bahru, suspek direman enam hari mulai hari ini hingga 25 Oktober depan bagi membantu siasatan kes membaling pisau dan mengenai adik lelakinya sehingga maut di Kampung Ulu Pulai semalam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *