Oleh RIZQI ZABIDI
KALANGAN rakyat perlu diberitahu bahawa kesusahan yang dialami mereka untuk mengadakan pilihan raya sebelum tiba masanya, berpunca daripada tindakan kluster mahkamah yang takut untuk menghadapi pendakwaan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DatuK Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu bukan satu rahsia malah turut diperakui sendiri oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis bersama MIC, baru-baru ini.
Dalam majlis itu katanya, Ahmad Zahid sendiri mengakui sekiranya PRU tidak diadakan, akan ada beberapa individu yang beliau sendiri namakan, akan menghadapi kesukaran.
“Pandangan Perikatan Nasional (PN) konsisten dari awal bahawa PRU ini sepatutnya tidak diadakan dan tindakan melaksanakannya segera adalah semata-mata untuk menyelamatkan kluster mahkamah dalam UMNO serta BN.
“Kita akur dengan keputusan untuk bubarkan Parlimen serta tarikh-tarikh diumumkan selepas itu dengan menyiapkan jentera untuk menghadapinya. Tetapi pada masa sama, kita kena beritahu rakyat bahawa kesusahan hadapi PRU ini bukan kita penyebabnya.
“Sebabnya adalah Ahmad Zahid Hamidi dan mereka yang takut untuk didakwa,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Inisiatif Bina Bangsa (Bina) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis sumbangan bersama MyKasih Foundation di sebuah pasaraya besar di Jitra, Kedah hari ini.
Dalam Perhimpunan Agung MIC 10 Oktober lalu, Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin BN yang mereka perlu menang besar dalam PRU-15 bagi mengelakkan ditimpa nasib lebih buruk seperti pendakwaan politik yang dihadapinya ketika ini.
Susulan itu, bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu adalah pengakuan pemimpin UMNO bersalah dan pertandingan UMNO dalam PRU-15 demi menyelamatkan mereka daripada dibicarakan di mahkamah dan dihukum.
Ahmad Zahid bagaimanapun menyifatkan ucapannya dalam majlis tersebut disalah tafsir lawan bagi menjatuhkan imej pemimpin BN kerana mesej yang cuba disampaikan adalah mereka akan berdepan ‘pendakwaan terpilih bermotifkan politik’ jika BN kalah dalam PRU-15.
Sementara itu Wan Saiful berkata, pembahagian kerusi antara parti dalam PN di Kedah sudah pun selesai dan telah dibawa ke peringkat Pusat untuk dimuktamadkan.
Dalam masa sama katanya, di peringkat Pusat pula terdapat beberapa siri rundingan yang masih berjalan di beberapa kerusi.
“Tak sesuailah jika saya sebut secara terperinci kerusi mana sedang dibincangkan itu tetapi akan ada beberapa siri rundingan dalam minggu ini melibatkan perkara tersebut.
“Dari segi jentera pula, saya rasa kita sudah bersedia hadapi PRU kali ini dan kerjasama dalam PN pun kian kukuh serta berada di tahap optimum,” katanya.
Leave a Reply