Agong ingatkan jangan fitnah, provokasi semasa kempen PRU-15

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru calon dan penyokong parti-parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menasihatkan semua calon bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh calon dan penyokong mereka dalam kehangatan berkempen.

“Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni.

“Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPR sebelum itu memaklumkan, PRU-15 akan diadakan pada 19 November nanti selepas 14 hari berkempen bermula selepas penamaan calon pada 5 November.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, pada hemat Seri Paduka Baginda, kerjasama dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan semoga perjalanan PRU-15 kelak lancar dan selamat dan semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Pada kenyataan sama, Ahmad Fadil juga memaklumkan, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani bin Ghazali, di Istana Negara pada Rabu.

“Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak Polis Diraja Malaysia dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *