JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 2.1 juta warga asing yang bekerja dalam pelbagai bidang, berada di Malaysia setakat Jun tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sejumlah 1.9 juta direkodkan DOSM pada tahun lalu, manakala 2.1 juta pula direkodkan pada 2020.
“Kita tidak nafikan negara masih memerlukan pekerja warga asing dalam beberapa sektor antaranya pembinaan, perladangan, pembuatan dan domestik. Kita masih memerlukan kira-kira 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja dan sekarang ini menghampiri angka tersebut.
“Bagaimanapun, kita perlu pastikan rakyat tempatan lebih ramai berminat dalam kerja-kerja perladangan atau pembinaan umpamanya, dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang lebih baik bagi menarik minat mereka seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Statistik 2022 sempena sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata DOSM mengeluarkan lebih 500 jenis statistik perangkaan setahun, dalam membantu negara mengurus tadbir di semua petingkat terutamanya dalam bidang ekonomi dan sosio ekonomi.
Beliau berkata statistik perangkaan itu digunakan pelbagai pihak seperti jabatan dan agensi kerajaan, Bank Negara Malaysia, para pelabur serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dalam membuat perancangan masing-masing.
“Jadi, saya berharap lebih 3,000 kakitangan DOSM lebih bermotivasi dan berintegriti dalam menjalankan tugas mereka, bagi memastikan statistik yang dikeluarkan adalah tepat dan mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata Sambutan HSN yang disambut kali keenam penganjurannya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya dapat merasai betapa pentingnya statistik sebagai ukuran penentuan hidup yang lebih baik dan sempurna.
Pelbagai program diadakan sepanjang karnival yang bermula hari ini sehingga Sabtu antaranya pelbagai pameran dan jualan diadakan serta Forum Perdana Ehwal Islam Diraja yang mana Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat untuk bersama-sama dengan masysrakat setempat pada malam ini. – BERNAMA
Mustapa Mohamed, warga asing, DOSM, statistik, ILSM, Karnival Statistik
Leave a Reply