SERAMAI 10 pekerja kilang termasuk pemandu cedera selepas van yang membawa mereka terbabas dan melanggar tiang dalam kemalangan di KM 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tambun Juru, Juru pukul 6.38 pagi tadi.
Kemalangan itu mengakibatkan pemandu van kilang tersepit, manakala sembilan lagi penumpang terdiri daripada pekerja wanita dan lelaki cedera.
Menurut pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Pegawai Bomba Kanan 11, Azhar Samsudin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.38 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pihak bomba mendapati sebuah van jenis Foton terbabas dan melanggar tiang.
“Pemeriksaan mendapati van berkenaan remuk teruk dengan pemandu van tersepit di dalam kenderaan tersebut, dua mangsa mengalami kepatahan manakala tujuh lagi mangsa cedera ringan.
“Pasukan penyelamat melakukan kerja kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 7.34 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan kemudian diberikan rawatan awal oleh Pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya lapor Astro Awani.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.47 pagi dan kes diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Leave a Reply