RAKYAT wajib menolak mana-mana pemimpin yang hanya berjuang untuk kepentingan diri sendiri hanya semata-mata mahu menyelamatkan daripada kes mahkamah.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kepentingan negara adalah lebih mustahak bagi mana-mana pemimpin politik dan bukan semata-mata rakus mahu kuasa semasa bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
“Apa juga yang kita lakukan sebelum pilihan raya ataupun selepas pilihan raya, semua pemimpin politik mesti meletakkan kepentingan orang ramai, kepentingan rakyat, kepentingan negara melebihi daripada kerakusan diri sendiri, nak selamatkan diri sendiri, nak kekuasaan buat diri sendiri.
“Ia mesti jauh diletakkan ataupun dicampak jauh-jauh, tak boleh ada dalam diri mana-mana pemimpin di negara kita ini. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tercalit dengan masalah-masalah didakwa di mahkamah,” katanya semasa wawancara dengan Astro Awani bertajuk PRU15: Biar Rakyat Menilai, Buat Pilihan, semalam.
Tegas Ahmad Faizal, adalah menjadi satu jihad buat rakyat dalam melawan pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa meletak kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Sekarang dah dengar pula kalau sudah tubuh kerajaan, nak tukar Peguam Negara untuk ditarik balik kes dan sebagainya. Perkara ini adalah menjadi satu jihad bagi rakyat Malaysia untuk kita tolak pemimpin-pemimpin begini daripada memimpin negara kita ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Faizal berkata rakyat sudah bijak untuk menilai mana satu pemimpin yang terbaik untuk mereka pilih pada PRU-15 nanti.
“Jadi saya fikir rakyat juga telah bersedia untuk memilih mana permata, mana batu dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Faizal juga membangkitkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa satu perhimpunan parti politik baru-baru ini yang memberi gambaran tujuan sebenar PRU-15 diadakan adalah bagi menyelamatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) daripada kes mahkamah.
“Kalau kita dengar daripada Presiden UMNO sebagai contohnya di dalam satu perjumpaan baru-baru ini, dia kata ahli-ahli kena bersedia untuk menyelamatkan kepimpinan apa Barisan Nasional yang mungkin akan didakwa jika kalah dalam pilihan raya.
“Jadi saya tak pastilah kalau ahli-ahli Barisan Nasional ini nak bekerja untuk pemimpin bukan untuk kepentingan bersama,” katanya lagi.
Mengulas berhubung isu sama ada Bersatu akan cuba berunding dengan mana-mana gabungan politik lain untuk menghadapi PRU-15, Faizal berkata masa sudah terlalu suntuk dan fokus kini tertumpu untuk mengekalkan kerjasama dalam gabungan sedia ada, Perikatan Nasional (PN).
“Saya fikir Perikatan Nasional telah istiqamah untuk menghadapi pilihan raya dengan gabungan sedia ada sekarang ini dan kita tidak lagi terlalu memikirkan kerjasama lain saya fikir parti lain juga telah amat bersedia,” terangnya lagi.
Leave a Reply