“ORANG muda, walaupun susah sebab hujan, tolonglah balik mengundi”, itu mesej penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof kepada pengundi muda.
Mohd Redzuan berkata, jika peratusan keluar mengundi rendah, UMNO-BN mungkin akan menempa kejayaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), sepertimana berlaku di Johor dan Melaka.
Dua negeri itu sebelum ini mengadakan pilihan raya negeri (PRN) yang menyaksikan kemenangan UMNO-BN.
“Rakyat, kalau pun hujan rintik-rintik keluarlah mengundi, kena keluar mengundi kalau rakyat mahu mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.
“Dapatan kajian saya, strategi oleh UMNO-BN untuk mengadakan pilihan raya apabila pengundi kurang turun padang. Kurang keluar mengundi contoh di Melaka dan Johor.
“Rakyat hari ini sudah celik. Jadi saya harap generasi muda, walaupun banjir, walaupun susah, hujan tak ada payung ke, pergilah keluar mengundi untuk membuat perubahan,” katanya memetik FMT.
Kata Mohd Redzuan, pengundi muda juga akan menjadi penentu kepada peningkatan sokongan gagasan itu.
Beliau akur pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelang musim banjir amat menyusahkan rakyat.
“Apa yang berlaku hari ini adalah satu perkara yang menyusahkan rakyat. Bayangkan, kalau kita ikut ramalan cuaca. Adakah rakyat boleh keluar mengundi? Kalau keluar mengundi adakah itu melambangkan satu majoriti?” katanya.
Katanya lagi, isu lapuk seperti skandal 1MDB, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin tertentu tidak harus lagi dijadikan modal pilihan raya kali ini.
“Kalau dulu tsunami 1MDB. Hari ini kita buat satu tsunami yang boleh kita sebut untuk maju ke depan.
“Rakyat mahu mencari alternatif, mahu cari apa yang kita bawa. Isu-isu seperti rasuah, salah guna kuasa, rakyat nampak stereotaip.
“Rakyat mahu lihat apa PN boleh bawa ke depan? Kita nak maju ke depan, bawa anak muda contohnya, pemuda pemudi hari ini nak lihat ‘eh, apa masa depan untuk kami?’, ‘Boleh ke saya dapat biasiswa?’, ‘Boleh ke saya tingkatkan ‘skill’ saya?’.
“Ini yang kita (PN) harus buat,” tegasnya.
Leave a Reply