‘’Saya hanya berseloroh nak pecat 12 menteri’’ – PM

PERDANA Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui hanya berseloroh ketika membuat kenyataan mahu memecat 12 menteri Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, mengecam kenyataan ‘pecat menteri’ dibuatnya yang menyatakan menteri Kabinet boleh meletak jawatan lebih awal kerana mempunyai “maruah”.

“Saya berseloroh ke serius? Kalau saya serius dia (Dr Abd Latiff Ahmad) dah kena pecat dah. Dia ada dalam Kabinet itu tak pecat maknanya saya berselorohlah,” katanya pada sidang media, hari ini, lapor FMT.

Ismail Sabri berkata, jika kenyataan tersebut serius sudah pasti akan berlaku pemecatan dalam kalangan menteri PN termasuk Abd Latiff.

Awal hari ini, Abd Latiff meluahkan rasa terkilan berhubung kenyataan Ismail bahawa beliau boleh memecat 12 menteri PN yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pembubaran Parlimen.

Beliau berpandangan, penggunaan ayat ‘pecat menteri’ itu tidak sepatutnya disebut dalam ucapan politik walaupun disampaikan secara gurauan dan sinikal.

Isnin lalu, Ismail dalam ucapannya ketika Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Negeri Perak di Bagan Datuk, mendedahkan beliau ada memberi ‘bayangan’ mengenai pembubaran Parlimen kepada Kabinet.

Bagaimanapun, kenyataan Naib Presiden Umno itu disangkal Abd Latiff kerana Ismail tidak pernah meminta mandat daripada anggota Jemaah Menteri mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Katanya, Ismail hanya ada menyatakan bahawa beliau ingin mengutamakan persediaan bencana, monsun timur laut dan kos barangan (ekonomi), berbanding pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *