PENYANYI dikenali dengan suara yang merdu, Siti Nordiana menafikan dakwaan kualiti vokalnya merudum berdasarkan beberapa persembahan besar sebelum ini.
Namun tidak menolak kemungkinan tiga kali terkena jangkitan Covid-19 memberi kesan buruk pada pernafasannya terutama ketika membuat persembahan.
Faktor tidak cukup rehat juga memberi kesan terhadap kualiti persembahannnya.
“Kadang-kadang ada waktu penyanyi tak cukup rehat. Sebab penyanyi bukan mesin. Ada masa okay, ada masa tak sihat. Macam saya sendiri sudah tiga kali terkena Covid-19. Setiap tahun kena sejak 2020.
“Tidak dinafikan ia memberi kesan pada pernafasan. Tapi, ia bukan alasan untuk saya menyanyi main-main. Tak dinafikan ada dua tiga persembahan saya yang kurang hingga menjadi kritikan netizen di media sosial.
“Saya pula jenis tak suka nak gaduh. Kalau memang menyanyi tak sedap saya mengaku saja. Sebab saya tahu, diri ini takkan pernah sempurna,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Dalam perkembangan lain, Siti Nordiana yang mesra disapa Nana baru muncul dengan single Menyantun Kasih hasil ciptaan komposer terkenal, Datuk M. Nasir dan lirik oleh Keon Omar.
Menariknya, video muzik (MV) lagu itu sudah mencecah lebih 150,000 tontonan selain berada di kedudukan ke-13 carta trending YouTube.
“Alhamdulillah, sejak mula dilancarkan pada 14 Oktober lalu, lagu dan MV ini terus mendapat sambutan baik. Terima kasih kepada semua yang sudah mendengar dan memberikan maklum balas terhadap lagu ini,” katanya.
Leave a Reply