PRU-15: Senarai calon Pas bertanding sudah muktamad

PAS sudah memuktamadkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.

“Pas sudah bermesyuarat dan memuktamadkan senarai calon. Semua sudah lengkap. Tunggu hari kejadian,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai senarai calon parti itu pada pilihan raya umum akan datang, lapaor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu akan memuktamadkan senarai penuh calon parti itu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pada 20 Oktober ini.

Sementara itu, Idris masih lagi berteka-teki sama ada akan bertanding di Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Beliau, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disebut-disebut akan bertanding kerusi itu pada pilihan raya akan datang.

Idris sebelum ini juga dilaporkan media sebagai berkata, Pas menolak penyandang Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, dari Bersatu sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi berkenaan pada PRU-15.

Syed Abu Hussin Hafiz pada pertengahan September lalu mengumumkan, bakal bertanding mengekalkan kerusi Bukit Gantang pada PRU-15 bagi, selain turut mahu merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong, biarpun perlu terpaksa bertanding atas tiket bebas jika ditolak oleh pimpinan PN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *