Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,608 botol perisa vape pelbagai jenama bernilai RM192,960 di pangkalan haram Tebu, di Rantau Panjang, pukul 1.45 tengah hari semalam.
Ketika kejadian, anggota Batalion 7 PGA sedang membuat rondaan sebelum terserempak sebuah pacuan empat roda berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, setelah menyedari kehadiran pihak polis, pemandu bertindak memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan hutan.
“Usaha menjejaki suspek gagal, namun hasil pemeriksaan pada kenderaan terbabit menemui kesemua perisa vape yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
“Anggota membawa kesemua barangan rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semua perisa vape kemudian akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
Muhamad Zaki berkata, cecair vape mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan difahamkan kerajaan Thailand mengharamkan penggunaan bahan bernikotin itu, justeru mereka memilih cara menyeludup masuk secara haram untuk mendapatkan bekalan
“Pihak polis bagaimana pun sentiasa bersiap siaga untuk menumpaskan kumpulan penyeludup ini yang jelas menyalahi undang-undang negara kerana melakukan aktiviti pembolosan kawasan sempadan.
“Kerjasama masyarakat setempat juga diperlukan untuk sama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Leave a Reply