PN Selangor anggap dakwaan MB satu jenaka

PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menyelar dakwan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa prestasi ekonomi negeri tersebut lebih baik di bawah pentadbirannya berbanding sebelum ini.

Setiausaha PN Selangor, Muhammad Hilman Idham berkata, Amirudin yang cuba membandingkan pentadbirannya dengan bekas Menteri Besar sebelumnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dianggap sebagai satu jenaka.

Jelasnya, pertumbuhan Selangor meleset dari tahun ke tahun sejak 2018 hingga ke hari ini walaupun sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurutnya, walaupun pertumbuhan ekonomi Selangor dicatatkan sebanyak 7 peratus pada tahun 2018, ia merosot kepada 6.8 peratus pada tahun berikutnya dan terus menurun pada kadar -5.2 akibat pandemik pada tahun 2020 sebelum merekod 5.0 peratus pada tahun lalu.

“Matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menyumbang 30 peratus daripada KDNK negara.

“Sasaran ini sangat tidak realistik memandangkan Selangor perlu mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekurang-kurangnya 9.5 peratus setiap tahun khususnya dalam suasana ekonomi hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman turut menemplak sikap barisan kepimpinan Amirudin yang tidak berpijak di bumi nyata dan tidak realistik dalam banyak perkara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia itu turut memaklumkan ia merupakan strategi Amirudin untuk mengaburi mata rakyat agar terkesima dan ‘impress with big numbers.’

“Wajarlah Amirudin mencermin diri terlebih dahulu sebelum mendabik dada sebegitu.

“Realitinya, beliau sendiri terperangkap dalam bayangan prestasi kepimpinan sebelumnya sehingga terpaksa berhempas pulas melakukan penjenamaan semula terhadap pelbagai program kebajikan rakyat.

“Ia demi memadam dan menghentikan rekod serta prestasi kejayaan Selangor tatkala pentadbiran Mohamed Azmin,” katanya lapor Sinar Harian.

Pada Isnin, Amirudin menafikan kenyataan Mohamed Azmin yang mendakwa prestasi negeri itu merosot di bawah pentadbirannya.

Amirudin berkata, sejak Mohamed Azmin meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi negeri itu terus menunjukkan peningkatan baik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *