Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG pemandu treler ditahan selepas bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk muka anggota polis trafik dalam kejadian di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya mengesan sebuah klip video kejadian yang mendakwa telah dipukul oleh seorang anggota polis trafik pada pukul 10.20 pagi.
Beliau berkata, semakan mendapati laporan telah dibuat oleh anggota polis trafik yang terlibat.
Katanya, sewaktu menjalankan tugas pemantauan lalu lintas, anggota terbabit mendapati sebuah treler telah memandu di lorong kanan yang sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.
“Suspek yang berusia 489 tahun juga enggan memberikan kerjasama sewaktu pemeriksaan dilakukan.
“Suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat lalu membuka pintu dan terus menumbuk muka anggota polis terbabit sebanyak dua kali dan menendang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, berlaku sedikit pergelutan dan anggota polis terbabit cuba mempertahankan diri atas tindakan suspek.
Katanya, suspek kemudian ditahan pukul 1 petang di tempat kejadian.
Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Johor Bahru bagi siasatan lanjut.
Leave a Reply