Naratif ‘pengkhianat’, ‘kerajaan pintu belakang’ PH tak laku

NARATIF kerajaan ‘pengkhianat’ dan ‘tebuk atap’ terhadap pembentukan kerajaan selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 seringkali dicanang setiap kali musim Pilihan Raya Negeri dan persidangan Dewan Rakyat. 

Agenda naratif tersebut kononnya ingin mengatakan bahawa gabungan Bersatu, Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sheraton Hotel, Petaling Jaya menggunakan nama Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak bermaruah dan mencalarkan sistem demokrasi.

Ia juga membawa kepada Rang Undang-undang Anti Lompat Parti yang diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat baru-baru ini. 

Bagaimanapun, bagi pengundi-pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang ditemui menurut laporan MalaysiaNow, mereka tidak termakan dengan naratif yang digunakan PH itu untuk memburukkan PN.

Sekumpulan pengundi muda yang ditemui di sebuah restoran makanan segera berdekatan Seri Kembangan, Selangor menganggap peralihan kerajaan pada awal 2020 itu sebagai sesuatu yang positif. 

Mereka yang berusia dari 19 hingga 24 tahun itu rancak bercerita tentang pandangan masing-masing mengenai Langkah Sheraton yang menyaksikan perubahan kerajaan dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri baru menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

“Kami tak suka PH. Manifesto mereka bukan kitab suci. Sudah tu, nak buat apa jadi kerajaan? 

“PN lebih baik sebab boleh urus negara masa Covid-19 dan beri moratorium. Memang membantu ramai orang contohnya macan keluarga kami sendiri yang ada hutang bank,” kata Muhamad Nazleen yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Mereka mengakui tidak begitu mahir tentang politik, namun, mereka yakin tidak akan terpengaruh dengan kempen-kempen yang mengatakan peralihan kuasa itu sebagai hipokrit, tidak sah dan pengkhianatan. 

Menurut mereka, undi yang akan disumbangkan pada PRU15 akan dinilai sebaiknya melalui manifesto dan prestasi sepanjang kempen PRU15 yang berlangsung kelak. 

Kenyataan mereka pernah disokong oleh satu tinjauan yang dilakukan oleh badan kajian bebas Merdeka Centre for Opinion Research pada April 2021. 

Tinjauan itu mendapati Muhyiddin mempunyai populariti 67% sebagai perdana menteri dan 74% pengundi secara konsisten berpendapat kerajaan membantu rakyat yang memerlukan bantuan dalam tempoh pandemik berbanding 25% yang tidak berpuas hati.

Lakukah kempen ‘kerajaan pengkhianat’? 

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Atory Hussain berkata penerimaan tentang naratif ‘khianat’ adalah berbeza mengikut latar belakang kelas ekonomi. 

Menurut Atory, golongan kelas menengah tidak akan mudah terpengaruh dengan istilah ‘khianat’ yang seringkali dicanang oleh pihak pembangkang. 

Ini kerana, katanya, mereka memahami politik mandat rakyat melalui sistem pilihan raya dan politik mandat melalui majoriti ahli-ahli Parlimen. 

“Mereka faham bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pun guna akuan berkanun (SD) untuk tiru Muhyiddin ambil alih kuasa tapi dia tak berjaya. Ahli-ahli Parlimen tak ramai sokong dia.

“Orang-orang yang bercakap khianat tu pun khianat juga. Anwar Ibrahim juga cuba dapatkan SD untuk jadi PM. Anwar dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga jatuhkan kerajaan Melaka dan Johor tahun lalu dikira khianat lah tu. 

“Tapi orang yang faham politik demokrasi, tak ada masalah kerana tak langgar undang-undang pun,” katanya kepada MalaysiaNow merujuk kepada PRN yang dipaksakan berlaku di Melaka oleh PKR dan Johor oleh UMNO. 

Menurut Atory, naratif khianat itu sememangnya digunakan bagi niat yang tidak baik dan mahu memperlekeh pihak PN sahaja.

Mengulas lanjut, Atory menegaskan naratif tersebut hanya bersifat provokasi semata-mata yang mahu memburukkan kumpulan pemimpin yang dibenci. 

Tegasnya, jika benar rakyat mudah terpengaruh dengan provokasi tersebut, Bersatu mungkin tidak akan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah. 

“Muhyiddin mungkin tak ada penyokong pun. 

“Kenyataannya, Bersatu kini kian mendapat perhatian,” katanya merujuk kepada kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN Sabah pada tahun 2020 yang berjaya membentuk kerajaan negeri, menewaskan gabungan Warisan dan PH.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *