PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai pemimpin yang mampu menerajui negara ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam ketika menggariskan nama terbabit berkata, tiga pemimpin itu dilihat memiliki kualiti, daya tahan serta karisma dalam memimpin negara mengharungi cabaran kini.
Beliau menegaskan dalam keadaan dunia begitu mencabar sekarang, negara amat memerlukan kepimpinan bertaraf dunia.
“Ketika ini, negara kita sangat kekurangan pemimpin-pemimpin yang mampu berdepan pelbagai cabaran dunia kini. Malaysia sangat memerlukan pemimpin berkualiti, berpengalaman dan tabah berani dalam menghadapi apa jua cabaran yang datang.
“Sekarang nampaknya memang kita mengalami kekurangan pemimpin yang boleh dikatakan ‘top class’.
“Saya hendak membuat satu analisis. Pemimpin pilihan peribadi saya yang saya lihat mampu memimpin negara dalam keadaan mencabar ini ada tiga nama, iaitu Ismail Sabri, Muhyiddin dan Anwar. Mereka ini berkebolehan memimpin negara dalam keadaan sekarang yang penuh kecelaruan,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Tokoh: Kecelaruan Politik Malaysia anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Johor, di Kota Tinggi hari ini.
Hadir sama ialah Yang Dipertua MUBARAK Johor, Datuk Abdullah Md Ali.
Seterusnya, Musa yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO turut menamakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai pemimpin muda berpotensi.
Katanya, beliau tertarik pada MUDA dan ideologi Syed Saddiq.
“Saya berpeluang bercakap dengan dia (Syed Saddiq). Dia ada idea bagus, ini pandangan saya tanpa prejudis dan tidak berpihak. Saya lihat dia ada keterujaan dan idealisme tersendiri. Orang di luar memang berkata macam-macam mengenai dia. Namun pada saya, dia mewakili golongan pemimpin masa depan.
“Dia juga ada pengikut ramai. Untuk dia menang kerusi atau mendapat dua tiga kerusi menerusi MUDA, bukan satu masalah,” katanya.
Dalam pada itu, Musa berkata, kecelaruan politik yang sedang dialami negara disifatkan ibarat ‘politik kartun’.
“Saya hendak cakap terus-terang, setiap kali saya menghadapi kritikan (daripada orang luar), berikutan keadaan politik dalam negara yang bercelaru ini, mereka cakap keadaannya seperti ‘politik kartun’.
“Keadaan politik negara macam hiburan pula, jadinya dengan kita (ahli politik) diketawakan,” katanya.
Leave a Reply